Kata Aluan Presiden

Assalamualaikum dan selamat sejahtera

Usia kelab yang telah menjangkau dua dekad pastinya telah melalui berbagai kejayaan, dugaan dan rintangan. Namun berkat kerjasama kepimpinan dan semua ahli yang begitu komited terhadap perkembangan dan kemajuan kelab telah memacu kelab untuk terus kekal bertahan dan maju. Ini selari dan setanding dengan perkembangan teknologi komunikasi umumnya dan radio amatur khususnya, dari teknologi analog hinggalah ke teknologi digital. Tanpa sokongan berterusan dari semua pihak samaada ahli, kepimpinan persatuan, komuniti, badan-badan kerajaan, badan-badan bukan kerajaan malah SKMM sendiri, mustahil persatuan ini dapat kekal hingga keusia ini. Saya berharap kerjasama dan sokongan semua pihak akan terus diberikan kepada ASTRA supaya kita dapat mendepani era baru dengan lebih cemerlang. Marilah kita bersama-sama menjaga hobi yang sangat unit dan tanpa sempadan ini. Bersahabat di daratan, lautan malah hingga ke angkasa raya. Setiap ahli dan kelab atau persatuan juga unik dengan tanda panggilan (callsign) yang tersendiri.

Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada semua AJK dan biro-biro yang telah memastikan pengurusan persatuan berjalan dengan lancar dan ahli-ahli dapat berkomunikasi melalui jalur yang tersedia di seluruh negara. Harapan yang tinggi diberikan agar ASTRA akan terus berkembang menyelusuri peredaran zaman bagi mendepani masa depan. Bukan sekadar hobi menggunakan gelombang radio untuk berkomunikasi sesama ahli, malah ASTRA juga aktif dalam gerakan kemasyarakatan dan bantuan bencana serta kecemasan di dalam dan luar negara. Terima kasih khusus kepada semua pihak yang sudi menyumbang kewangan untuk kemajuan persatuan ini. Sesungguhnya sumbangan anda semua sangat dihargai demi kelestarian ASTRA bagi mendepani anjakan paradigma.

Sekian, terima kasih.

DATO BAHARI BIN TAIB (9W2DBT)

Presiden ASTRA